Followers

Tuesday, October 11, 2011

Belasungkawa ---->Ahmad Jais

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais meninggal dunia di Pusat Perubatan DEMC, jam 9.20 pagi ini dipercayai akibat masalah paru-paru.

Allahyarham Ahmad Jais berusia 75 tahun

Menantunya, Amirul Izwan Razak, 28, berkata jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, hari ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu "Selamat Hari Raya" dan "Budi Setahun Segunung Intan" yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lalu kerana kesukaran bernafas.

Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.

Penyanyi yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu, tetapi sakitnya mula serius pada malam 20 September lalu sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 di sini.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke DEMC untuk rawatan lanjut.
Persembahan terakhir Allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sumber dari BERNAMA





No comments: